PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan mean kilometres between failure atau Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) pada 1 juta kilometer (km) menjelang suku kedua 2026 bertujuan mengurangkan kekerapan kerosakan tren kepada tahap paling minimum.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika membentangkan Laporan Prestasi Prasarana 2024 dan pelan 2025 hari ini berkata Prasarana berjaya mengurangkan jumlah gangguan perkhidmatan rel kepada 71 gangguan pada 2024, berbanding 118 yang direkodkan pada 2023.
Beliau berkata langkah itu meningkatkan kecekapan operasi tren sebanyak 33 peratus pada tahun lepas, merangkumi lima laluan tren, iaitu perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang, MRT Laluan Putrajaya, monorel, dan LRT Ampang.
“Apa yang dimaksudkan gangguan ialah apabila tren tidak bergerak lebih dari lima minit. Gangguan yang lebih serius pula ialah tren tidak bergerak lebih dari 15 minit. Kita telah pun mengurangkan jumlah gangguan ini, tetapi sudah tentu kita belum berpuas hati.
“Kita mahu prestasi ini terus ditambah baik. Jadi, untuk 2025, kita menyasarkan pengurangan jumlah gangguan ini daripada 71 kepada seminimum mungkin. Harapan kita ialah menjelang 2026, MKBF kita mencapai satu juta km,“ katanya.
Loke berkata sasaran MKBF satu juta kilometer bermaksud perkhidmatan tren hanya mengalami satu gangguan bagi setiap satu juta kilometer perjalanan.
“Maksudnya, kita tak nak ada gangguan dalam satu juta km laluan... apabila tren bergerak hingga satu juta kilometer, baru ada satu kali gangguan. Maksudnya, kekerapan gangguan itu amat kurang,“ katanya.
Laporan MKBF bagi perkhidmatan pengangkutan awam melibatkan tren dan bas perantara Prasarana mula digunakan pada 2023.
Selain itu, beliau berkata Prasarana menyasarkan purata 1.4 juta penumpang sehari menjelang Disember 2025, berdasarkan unjuran peningkatan 10 hingga 12 peratus bilangan penumpang rel dan bas pascapandemik COVID-19.
“Purata penumpang yang menggunakan pengangkutan awam di bawah Rapid meningkat kepada 1.18 juta sehari pada 2024, berbanding 955,000 penumpang pada 2023, iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus. Pada 2022, angka ini adalah 681,000.
“Kesan ini cukup positif dan hampir kembali ke tahap sebelum COVID-19 pada 2019. Jadi, ini satu pencapaian yang boleh dibanggakan,“ katanya.
Loke berkata pendapatan syarikat menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus pada 2024, yang kebanyakannya didorong oleh pertambahan jumlah penumpang.
Beliau berkata Prasarana sedang giat mencari lebih banyak aliran pendapatan termasuk menerusi pengiklanan dan penajaan korporat.
“Selain daripada jumlah penumpang, kita juga perlu memanfaatkan beberapa tanah di bawah Prasarana untuk menambah pendapatan.
“Kita sedang giat mencari pendapatan daripada pengiklanan termasuk hak penamaan stesen dan penajaan korporat berkaitan hak penamaan stesen, yang akan meningkatkan pendapatan Prasarana,“ katanya.
Selain itu, beliau berkata pembukaan laluan baharu seperti LRT 3 dari Shah Alam ke Klang juga dijangka mampu meningkatkan jumlah penumpang.
“Perkara paling penting bagi Prasarana ialah memastikan perkhidmatan yang boleh dipercayai orang ramai. Hanya dengan cara itu, ia akan meningkatkan keyakinan untuk menggunakan pengangkutan awam,“ katanya.