• 2025-10-09 06:19 PM

BANGI: Premis perkhidmatan makanan di 20 kawasan bandar raya akan menghadapi tindakan tidak dibenarkan memperbaharui lesen perniagaan mulai 1 Januari 2026 jika gagal memastikan tandas mencapai tahap Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyatakan tindakan tegas ini dilaksanakan setelah pemilik premis diberikan penerangan dan tempoh masa mencukupi selama tiga tahun untuk memahami dasar baharu kerajaan.

“Saya telah keluarkan notis tiga tahun dulu iaitu pada 2023, jadi kita bagi tempoh tiga tahun untuk semua pengusaha pastikan kebersihan tandas menjadi satu kewajiban ketika memperbaharui lesen perniagaan,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.

Beliau turumengumumkan bahawa individu yang melakukan kesalahan pembuangan sampah kecil akan dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat tidak melebihi 12 jam berkuat kuasa tarikh yang sama.

“Mereka yang buang sampah bukan sahaja kena bayar kompaun sehingga RM2,000 tetapi juga boleh dijatuhkan hukuman khidmat masyarakat 12 jam seperti menyapu jalan, mencuci longkang atau membersihkan tandas awam,” jelas Nga.

Kabinet telah memutuskan pada 2023 bahawa premis makanan dan minuman termasuk restoran, hotel serta warung di bandar raya berisiko tidak dibenar memperbaharui lesen jika tandas mereka didapati kotor.

Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.

Nga juga melaporkan bahawa 12,000 tandas awam di seluruh negara telah berjaya dinaik taraf setakat ini termasuk di kawasan sekolah, pasar, taman awam dan medan selera.

“Medan selera kini semakin hari ada kemajuan, namun masih ada ruang untuk pembaikan selaras dengan tekad kerajaan MADANI untuk sentiasa mempertingkatkan kemudahan dan prasarana asas,” katanya.

Ketetapan baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan tahap kebersihan dan imej negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya menjemput seluruh warga Malaysia untuk bersikap ramah apabila pelancong datang bertanya jalan atau lokasi tempat makan yang sedap kerana ini adalah misi seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya. – Bernama