SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melaksanakan program ‘Ambulans Kita Selangor’ sebagai satu inisiatif memperkukuh sistem sokongan dan memperkasa akses kesihatan rakyat di negeri ini, kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.
Beliau berkata program yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat itu bakal menyediakan perkhidmatan ambulans bukan kecemasan secara percuma kepada golongan memerlukan, khususnya bagi keperluan janji temu rawatan, rawatan susulan, serta sesi rawatan berkala di hospital dan pusat rawatan bertauliah.
“Melalui Program Ambulans Kita Selangor, kerajaan negeri berhasrat menawarkan perkhidmatan ambulans yang lebih efisien, sistematik serta mudah diakses, dengan St John Ambulans Malaysia Selangor akan bertindak sebagai rakan strategik penting dalam pelaksanaan inisiatif ini.
“Sebagai rakan pelaksana, peranan St John Ambulans Malaysia akan memberi impak besar bukan sahaja dalam memperluas capaian perkhidmatan malah memperkasakan lagi sistem kesihatan negeri secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jamaliah menekankan bahawa program ini sejajar dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan akses kesihatan yang lebih baik bagi semua lapisan masyarakat. - Bernama