BALING: Program MADANI Rakyat Kedah mencatat kehadiran seramai 29,560 pengunjung pada hari pertama program tersebut.
Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi menyatakan sambutan itu amat menggalakkan kerana melebihi sasaran awal sebanyak 25,000 pengunjung.
Program yang bertemakan Rakyat Prihatin, Negara Aman, Masa Depan Terjamin itu berlangsung dari 4 September hingga 6 September.
Hari kedua program terus diserbu orang ramai seawal pukul 9 pagi walaupun cuaca agak mendung.
Antara tarikan utama program ini termasuk reruai perkhidmatan kerajaan dan Jualan MADANI dengan harga berpatutan.
Pengunjung juga berpeluang mendapatkan diskaun saman trafik polis serta pemeriksaan dan perkhidmatan kesihatan.
Bagi pencari kerja, sesi temu duga dengan pelbagai majikan turut disediakan sepanjang program berlangsung.
Reruai pertukaran topi keledar baharu dan minyak enjin motosikal percuma turut menjadi tumpuan pengunjung.
Pengagihan biji benih dan anak pokok secara percuma serta perkhidmatan gunting rambut turut ditawarkan.
Acara kemuncak program ialah majlis penutupan yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok. – Bernama