PUTRAJAYA: Program MADANI Rakyat Zon Sarawak akan diadakan di Miri dari 27 hingga 29 Sept depan, dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sebagai peneraju utama program, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini, beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selaku pengerusi mesyuarat telah membangkitkan kejayaan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Johor baru-baru ini yang merekodkan kehadiran kira-kira 223,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Program MADANI Rakyat merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan Disember lepas.

Sementara itu Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini juga dimaklumkan mengenai perkembangan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak dengan acara perasmian telah berjalan lancar pada 17 Ogos lepas.

“Timbalan Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang berusaha keras bagi memastikan kejayaan program tersebut,“ katanya.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.