SEMPORNA: Pulau Bohey Dulang yang terletak dalam Taman Marin Tun Sakaran di sini ditutup sementara mulai hari ini bagi pelaksanaan operasi mitigasi ancaman buaya di kawasan itu.
Taman-Taman Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan sementara kepada orang awam sehingga 13 Jun itu penting bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang operasi mitigasi itu dijalankan.
“Selain Taman-Taman Sabah, operasi berkenaan turut melibatkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Segala kesulitan berhubung perkara itu adalah dikesali.,“ menurut notis penutupan yang dimuat naik di Facebook rasmi jabatan itu hari ini.
Pulau Bohey Dulang, pulau kedua terbesar dalam Taman Marin Tun Sakaran, merupakan antara tarikan pelancongan di negeri ini yang terkenal dengan keindahan laut serta flaura dan fauna seperti Burung Enggang dan Kima Gergasi.