• 2025-10-02 09:59 PM

SEREMBAN: Punca kematian murid lelaki tahun empat yang ditemui tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang adalah disebabkan tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa berusia 10 tahun itu.

“Setakat ini 27 keterangan telah dirakam dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk mengenal pasti punca tindakan sebelum kejadian sehingga kepada siasatan semasa mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah,“ katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli.

Alzafny menggesa orang ramai memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas.

Beliau berkata ia mengambil kira sensitiviti melibatkan kanak-kanak yang dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 memandangkan siasatan turut melibatkan saksi dalam kalangan kanak-kanak.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 1.19 tengah hari semalam ketika murid terbabit sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tandas lelaki sekolah berkenaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut dilaporkan berkata kementeriannya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan menegaskan ia akan dijalankan secara telus.

Beliau berkata KPM pada peringkat ini memberi tumpuan kepada proses psikososial serta sokongan emosi kepada murid dan guru di sekolah berkenaan. – Bernama