PUTRAJAYA: Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) seharusnya menjadi acara tahunan kerana ia mampu menyemarakkan pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti dalam kalangan anak muda, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Majlis Peluncuran FOI Putrajaya di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata elemen idea amat penting dalam membangunkan negara seperti yang digagaskan dalam kerangka besar Malaysia MADANI.
“Idea boleh bercambah, boleh berkecamuk, sebab itu penerimaan idea, kupasan idea sangat penting. Ini bermakna idea yang kita bicara adalah kerangka besar yang mempertahankan nilai murni termasuk kemanusiaan dan kebaikan.
“Negara harus membangun... membangun dengan idea, kita ungkapkan dalam kerangka besar Malaysia MADANI, maknanya idea pembaharuan. Ada yang mengakar ke bumi iaitu jati diri bangsa, nilai, budaya, bahasa, keyakinan dan kepercayaan agama,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kementerian itu komited bagi menganjurkan Putrajaya FOI secara tahunan dalam usaha mengangkat Putrajaya sebagai The City of Idea untuk Malaysia dan dunia.
Perdana Menteri berkata idea yang diungkapkan dalam kerangka Malaysia MADANI membawa maksud bahawa elemen itu relevan dengan pemikiran dan kehidupan seharian rakyat.
Beliau berkata kemampanan kesemua elemen tidak membawa sebarang makna sekiranya tidak diasaskan dengan keyakinan kepada agama, erti kehidupan, kemanusiaan dan nilai luhur.
“Sebab itu idea mesti dipelopori dengan keyakinan dan seperti yang saya selalu ungkapkan, menggapai ke langit. Sebab kita mahu maju maka perlu (ada) matematik, kalkulus, digital, AI (kecerdasan buatan), perlu bicara soal tenaga baharu. Ini memerlukan percambahan idea.
“Jadi festival ini boleh semarakkan pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti serta daya kritikal, apa lagi dalam kalangan anak muda kerana idea tanpa tindakan ibarat pohon tidak berbuah dan idea yang dicetuskan harus tercerna dari hati nurani yang baik,” katanya.
Terdapat enam tonggak dalam kerangka Malaysia MADANI yang diperkenal pada 19 Jan 2023 iaitu KeMampanan, KesejAhteraan, Daya cipta, HormAt, KeyakiNan dan Ihsan.
Menjelas lanjut mengenai manfaat Putrajaya FOI, Anwar berkata festival yang julung kali diadakan itu mampu mengajak generasi muda dan masyarakat untuk berkongsi pandangan serta pendapat dalam pelbagai bidang.
“Bagi saya, Festival of Idea boleh mengajak anak-anak, mengajak masyarakat... ya, boleh berbeza pendapat, boleh meluahkan, sebaiknya mencurahkan sebanyak mungkin idea, pandangan dalam bidang politik, ekonomi dan geoekonomi tetapi mesti teguh pada landasan.
“Landasan mengangkat martabat dan darjat manusia dengan memupuk nilai supaya setiap rakyat yang tua dan muda, yang tinggal di kota, desa serta pedalaman, setiap orang harus diberi penghormatan dan diiktiraf sebagai warganegara yang mulia dan diangkat martabat,” katanya.
Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan Zambry di Kementerian Pendidikan Tinggi dengan menyifatkan bahawa Putrajaya FOI telah dianjurkan dengan jayanya.
“Tahniah Zambry dan KPT... cuma saya bisik pada Zambry jaga belanja,” katanya.
Putrajaya FOI, yang berlangsung selama tiga hari hingga esok, menyediakan pelbagai program termasuk tawaran 10,000 peluang pekerjaan kepada pengunjung selain menghimpunkan lebih 80 pemimpin, pakar pelbagai bidang, ahli akademik dan industri dalam pentas forum serta sidang selari menerusi MyIDEAS.