PETALING JAYA: Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan perletakan jawatannya hari ini.

Melalui sebuah kenyataan yang dikongsikan di platform media sosial miliknya, beliau menyatakan perletakan jawatannya itu berkuat kuasa pada 17 Jun 2025.

Beliau menyatakan perletakan jawatannya ini adalah berikutan rasa bertanggungjawabnya setelah tewas di dalam pemilihan PKR baru-baru ini, dimana beliau menyatakan dirinya sudah tidak lagi mempunyai mandat daripada partinya untuk terus berkhidmat.

“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan tindakannya itu berdasarkan amalan negara-negara yang menitikberatkan prinsip demokrasi dimana, pemimpin yang tewas di dalam pemilihan parti haruslah memberikan laluan kepada yang menang untuk berada di dalam kerajaan.

Susulan pengunduran dirinya itu, Rafizi juga berterima kasih kepada kakitangan dan kepimpinan Kementerian Ekonomi atas sokongan terhadap dirinya sepanjang menerajui kementerian itu.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepada saya sepanjang saya di sini. Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.

“Saya yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam,“ tulisnya.

Menteri Ekonomi itu juga menyatakan amanah terakhirnya telah dilaksanakan melalui penghasilan RMK13.

“RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan. Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri.

Rafizi mengakhiri kenyataanya dengan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dengannya sepanjang beliau menjawat jawatan itu.

“Akhir sekali, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, pihak media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi.

“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh. Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan.