• 2025-07-07 11:38 AM

KUALA SELANGOR: Siapa sangka, di sebalik deretan kedai lama di Jalan Ara, di sini tersembunyi sebuah bengkel tembikar yang telah bertahan selama tiga generasi dalam menghasilkan pelbagai produk tanah liat secara tradisional dengan menggunakan perkakas yang telah berusia lebih 25 tahun.

Di sinilah terletaknya Ramadas Pottery, milik V. Ramadas, 74, yang masih setia memusingkan tanah liat menggunakan teknik ‘lemparan alin’ (proses membentuk tanah liat) yang diwarisi daripada bapanya untuk dijadikan belanga, periuk nasi serta buyung air.

“Kami memang guna mesin ‘pottery’ yang moden di kilang, tetapi untuk kedai ini saya kekalkan cara tradisional. Pelancong suka tengok cara lama dan ramai yang mahu cuba buat sendiri secara hands-on,” katanya ketika ditemui pada program Star Healing 2025 anjuran Tourism Malaysia di premisnya baru-baru ini.

Bergiat dalam pembuatan tembikar sejak 1976, Ramadas berkata permintaan terhadap produk tanah liat kekal tinggi kerana pengguna semakin menyedari kelebihannya berbanding peralatan moden.

“Periuk tanah ini lebih bersih dan selamat digunakan. Malah, ketika pihak SIRIM mengujinya, memang terbukti tembikar saya bebas daripada kandungan kimia sebab itu masih ramai pelanggan yang memilih periuk jenis ini untuk masakan tradisional,” jelasnya.

Malah, jika digunakan dengan kerap, tembikar katanya mampu bertahan hingga setahun dan jika dijadikan hiasan boleh tahan jauh lebih lama.

Merupakan Adiguru Kraf Tembikar (Master Tukang Tembikar) pada 2012, Ramadas tidak hanya bergantung pada warisan ayahnya sebaliknya beliau memperluas kemahiran dengan mengikuti kursus di dalam dan luar negara antaranya di Indonesia, India, Vietnam, China serta di Malaysian Institute of Art (MIA).

“Saya tak mahu ilmu ini terhenti setakat yang diajar ayah saya, sebab itu saya cari ilmu di tempat lain untuk menambah teknik dan gaya agar selari dengan perkembangan semasa,” katanya.

Usaha gigihnya itu akhirnya membuahkan hasil apabila bapa kepada tiga cahaya mata ini berjaya membuka kilang sendiri pada 2000, dengan bantuan permulaan sebanyak RM2,000, yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor ketika itu Tan Sri Muhammad Muhd Taib selepas melihat sendiri kemahirannya.

“Ketika itu, beliau datang sebagai pelancong dan tengok saya buat tembikar dengan cara tradisional, lepas 20 minit terus beliau hulur bantuan untuk saya,” katanya.

Kini, kilangnya menghasilkan 3,000 hingga 4,000 unit produk kecil sebulan, manakala tembikar bersaiz besar mencecah 4,000 unit sebulan bagi pasaran tempatan.

“Saya seronok bila orang datang bukan sekadar beli, tapi nak belajar. Selagi ada minat, saya akan terus buat tembikar,” katanya menambah beliau menggunakan sekurang-kurangnya satu tan tanah liat setiap bulan bagi menghasilkan produk tersebut.

Bagi yang ingin merasai pengalaman berkenaan, peserta hanya perlu membuat janji temu untuk setiap sesi yang berlangsung selama dua jam dan berpeluang menghasilkan dua jenis tembikar asas menggunakan tanah liat, di bawah bimbingan Ramadas sendiri.

Menurut Ramadas, kelas yang diadakan bukan sahaja menarik minat pelancong tempatan, malah turut menerima penyertaan dari negara seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Itali, sekali gus membuktikan bahawa seni tradisional Malaysia tetap relevan dan dikagumi di peringkat antarabangsa.