GEORGE TOWN: Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P. Ramasamy, menarik balik saman fitnah terhadap Ketua Menteri Chow Kon Yeow berhubung isu kontroversi penjualan tanah di Batu Kawan.
Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Helmi Ghani. Peguam Ramasamy, Dr Shamsher Thind Singh, memaklumkan bahawa plaintif bersetuju memberhentikan guaman tersebut tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.
Ramasamy mengambil langkah tersebut selepas menerima penjelasan daripada Chow bahawa beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kecil Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada 28 November 2022 dan Mesyuarat Ahli Lembaga PDC pada 9 Februari 2023.
“Kedua-dua mesyuarat tersebut berkaitan penjualan tanah PDC kepada Umech Land Sdn Bhd yang melibatkan 226 hektar tanah di Byram, Batu Kawan, yang kini telah dibatalkan antara PDC dan Umech Land,“ menurut kenyataan mahkamah.
Dalam perkembangan berkaitan, PDC turut menarik balik saman fitnah terhadap Ramasamy tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa perintah mengenai kos.
Ramasamy juga bersetuju menarik balik kenyataan-kenyataannya mengenai PDC sebagai sebahagian penyelesaian.
Saman fitnah itu difailkan Ramasamy pada 18 Julai tahun lepas berikutan satu kenyataan di laman Facebook rasmi Chow pada 3 Oktober 2023 yang didakwa menjejaskan reputasinya.
Isu penjualan tanah PDC di Batu Kawan sebelum ini mencetus kontroversi kerana dakwaan ia dijual di bawah nilai pasaran melalui tender dirunding secara langsung. - Bernama