JAKARTA: Rantau ASEAN mengalami 36 bencana sepanjang minggu lepas, termasuk banjir, tanah runtuh dan insiden berkaitan angin, terutama di Indonesia, Filipina dan Malaysia, menurut Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) yang berpejabat di Jakarta.

Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, BNPB melaporkan mengenai kejadian banjir, tanah runtuh dan bencana berkaitan angin di beberapa wilayah termasuk Bengkulu, Gorontalo, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Lampung, Nusa Tenggara Barat, Papua, Riau, Sulawesi Selatan dan Sumatera Selatan.

“Hujan lebat berterusan, angin kencang dan banjir memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan kerosakan yang meluas, khususnya di Jawa Tengah.

“Empat maut, seorang cedera selain kerosakan infrastruktur kediaman, pendidikan dan awam serta tanah pertanian,” menurut Pusat AHA dalam maklumat terkini mingguannya.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan banjir di Pahang manakala majlis pengurusan bencana Filipina NDRRMC melaporkan mengenai kejadian tanah runtuh di bahagian tenggara, Davao de Oro.

Sehingga 10 Feb, NDRRMC melaporkan 33 maut, 89 orang hilang, 35 cedera manakala lebih 1,300 keluarga yang hilang tempat tinggal kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan.

Selain itu, Indonesia dan Filipina juga merekodkan 12 gempa bumi melebihi 5.0 pada skala Richter di samping lapan kejadian aktiviti gunung berapi.–Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image