CHUKAI: Seorang remaja lelaki dimasukkan ke hospital selepas termakan biskut disyaki mengandungi racun yang diambil di pagar kebun penduduk kampung, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku kira-kira 2 petang ketika mangsa berumur 13 tahun yang tinggal di Kampung Air Putih di sini, dalam perjalanan dari rumahnya ke sungai untuk memancing.

Beliau berkata remaja terbabit ketika melalui kebun itu telah mengambil biskut yang diletakkan di dalam plastik sebelum rebah tidak sedarkan diri.

“Mangsa ditemukan oleh bapa rakannya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas tanah.

“Dia dibawa ke klinik kesihatan berdekatan sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata remaja itu kini berada dalam keadaan stabil di wad dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.