• 2025-08-12 03:01 PM

KOTA BHARU: Reman terhadap dua beradik tiri bersama ibu mereka yang disyaki memiliki 35 kilogram (kg) ganja mampat serta sepucuk pistol bersama peluru serta kelongsong di Kampung But, Ketereh di sini disambung enam hari lagi.

Perintah sambung reman yang bermula esok sehingga 18 Ogos depan itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri di Mahkamah Majistret di sini.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 24, 34, dan 46 tahun yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah pada 8.45 pagi dengan menaiki trak polis.

Suspek ditahan dalam serbuan dilakukan pukul 4.30 pagi pada Selasa lepas.

Suspek lelaki berusia 24 dan 34 tahun bekerja sebagai pembantu di klinik milik bapa mereka.

Wanita berusia 46 tahun itu merupakan seorang suri rumah. - Bernama