• 2025-09-03 10:53 AM

KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga hari ini dengan mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pengumuman data pasaran tenaga kerja negara maju itu minggu ini.

Data itu menjadi input penting untuk ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang akan bermesyuarat pada 16-17 September ini.

Pada 8 pagi ini, ringgit diniagakan tinggi ke paras 4.2255/2370 daripada paras penutup 4.2270/2350, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peluang bagi Rizab Persekutuan As (Fed) mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas masih ada, walaupun peserta pasaran sebaliknya kekal berwaspada susulan isyarat bercampur-campur dari sudut data serta kenyataan pegawai bank pusat berkenaan.

“Laporan Tinjauan Awal Tawaran Kerja dan Peralihan Tenaga Kerja (JOLTS) akan diterbitkan dengan konsensus menganggarkan sebanyak 7.39 juta kekosongan pekerjaan pada Julai berbanding 7.43 juta pada Jun,“ katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata ringgit juga telah susut 0.13 peratus berbanding dolar AS kepada 4.2310 semalam dan menjangkakan kadar pertukaran USDMYR dalam julat 4.23 hingga 4.25 hari ini.

Selain itu, ringgit turut dibuka mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.8437/8519 daripada 2.8451/8507 semalam, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6541/6695 daripada 5.6638/6745 dan naik berbanding euro kepada 4.9155/9289 daripada 4.9194/9287.

Pada masa sama, ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN lain.

Ini termasuk meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 257.4/258.2 daripada 257.5/258.1, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2776/2870 daripada 3.2808/2873 serta mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.34/7.37 daripada 7.35/7.37, semalam.

Namun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.0691/13.1120 daripada 13.0459/0762, semalam. - Bernama