• 2025-07-22 09:55 AM

KUCHING: Sarawak berisiko mengalami jerebu dalam beberapa hari atau minggu akan datang jika aktiviti pembakaran biojisim di Kalimantan, Indonesia, terus meningkat. Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak memaklumkan bahawa kualiti udara di negeri itu menunjukkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sejak 19 Julai.

“Sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak 15 kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada paras sederhana, manakala tiga kawasan lagi mencatatkan bacaan kategori baik. Tiada kawasan direkodkan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat ini,“ menurut kenyataan NREB.

Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengesan empat titik panas di Sarawak dari 14 Julai hingga semalam, sementara Kalimantan mencatatkan 114 titik panas dalam tempoh sama. Daripada jumlah itu, 93 titik panas dikesan hanya dalam dua hari, iaitu pada 19 dan 20 Julai.

NREB menjelaskan bahawa negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya sejak 10 Mei, yang dijangka berakhir pada September. Angin yang bertiup secara konsisten dari barat daya berpotensi membawa jerebu rentas sempadan ke Sarawak.

“Keadaan ini berpotensi membawa kepada berlakunya jerebu rentas sempadan dan kemerosotan kualiti udara ambien di wilayah Sarawak,“ jelas kenyataan itu.

Sebagai langkah pencegahan, NREB telah mengaktifkan bilik operasi jerebu, melaksanakan rondaan lapangan, menggantung pengeluaran permit pembakaran terkawal, dan mengeluarkan notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek. Program kesedaran bersama agensi berkaitan turut dilaksanakan untuk mengurangkan risiko jerebu.

Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memastikan pengambilan air mencukupi, mengehadkan aktiviti luar, dan memakai pelitup muka jenis N95, terutama bagi golongan berisiko tinggi. NREB juga mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan pencemaran udara.

Laporan pembakaran terbuka boleh dibuat di pejabat NREB berhampiran atau melalui talian hotline 082-447488 atau 082-319500. - Bernama