KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melaksanakan transformasi digital dapat membantu organisasi media mengemudi perubahan landskap media terutama dalam mendepani cabaran media sosial dan memenuhi kehendak generasi baharu khususnya Gen Z.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata dana itu antara yang terbesar dalam sejarah kewartawanan negara dan akan digunakan untuk memperkasakan transformasi digital dalam kalangan organisasi media tempatan.
“Ini adalah satu dana mungkin antara yang agak besar dalam sejarah dana untuk para wartawan iaitu sebanyak RM30 juta.
“Harapannya dana ini dapat membantu organisasi media mengemudi perubahan yang sedang berlaku terutama dengan kehadiran media sosial dan generasi pembaca serta penonton baharu iaitu Gen Z,“ katanya dalam sidang media selepas Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri.
Turut hadir dalam sidang media itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025.
Mengenai asas kepada peruntukan itu, Fahmi berkata sebahagiannya adalah berpunca daripada kejayaan program dengan enjin carian Google tahun lepas yang membabitkan lebih 30 organisasi media dalam usaha membantu mereka mencari sumber pendapatan baharu menerusi platform digital.
Beliau berkata tahun ini, kerjasama itu diteruskan menerusi inisiatif baharu yang dinamakan Projek Sigma selaras dengan minat Gen Z terhadap istilah berkenaan bagi membantu organisasi media memahami tingkah laku pengguna kandungan generasi baharu.
“Hasil Projek Sigma baru-baru ini amat memberangsangkan dan hasratnya, dana RM30 juta ini bukan sahaja untuk projek seumpamanya tetapi juga untuk membantu organisasi media mencari platform baharu, audiens baharu serta format baharu ke arah mencapai kemampanan,“ katanya.
Fahmi memaklumkan mekanisme permohonan dan pengurusan dana itu akan diumum oleh Kementerian Komunikasi dalam masa terdekat.
Mengenai diskaun 50 peratus secara one-off bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke mana-mana 57 destinasi negara anggota ASEAN, Fahmi berkata ia bukan sahaja simbol penghargaan syarikat penerbangan AirAsia kepada wartawan tetapi juga peluang untuk mereka menjelajah rantau ini dan mengeratkan hubungan serantau.
Mengenai inisiatif AirAsia yang bakal menamakan sebuah pesawat khusus buat pengamal media, beliau berkata ia adalah sebagai penghormatan kepada wartawan manakala cadangan nama, livery khas dan pengisian berkaitan akan diumumkan dalam satu majlis khas akan datang.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk organisasi media di negara ini melaksanakan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan.
Sambutan HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana, adalah bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.