• 2025-07-31 05:42 PM

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menekankan komitmen kerajaan dalam memperkasakan sosioekonomi masyarakat India melalui pendekatan bersepadu selaras semangat MADANI, menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan.

Beliau menjelaskan strategi RMK13 dirancang untuk meningkatkan kualiti hidup dan mobiliti sosial masyarakat India, terutamanya golongan berpendapatan rendah, menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India.

“RMK13 memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti dan bakat dalam STEM, TVET, serta peluang kerjaya, selain penambahbaikan infrastruktur asas dan akses perumahan,” katanya dalam kenyataan selepas pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Inisiatif lain termasuk pemerkasaan ekonomi dan sosial, penggunaan AI, serta pendigitalan untuk meningkatkan keberkesanan program.

Antara program berterusan ialah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI).

RMK13 juga merancang projek pembangunan fizikal di perkampungan masyarakat India.

KUSKOP akan memperkenalkan sistem kawal selia kendiri bagi industri francais untuk mengurangkan birokrasi.

“RMK13 dirangka tanpa meminggirkan keperluan masyarakat India, menyumbang kepada aspirasi Ekonomi MADANI untuk pertumbuhan mampan,” kata Ramanan.

RMK13 berteraskan tiga asas utama: pembentukan negara bangsa berdaulat, sistem sosial berasaskan insan MADANI, dan peralihan ke negara berasaskan AI.

Empat tonggak utamanya ialah kerencaman ekonomi, mobiliti sosial, reformasi perkhidmatan awam, dan kelestarian alam sekitar. – Bernama