Your Title

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Roslan Saleh, 69, menghembuskan nafas terakhir pada 7 pagi tadi di rumahnya di Masjid Tanah, Melaka, akibat sakit tua.

Berita pemergian Allahyarham disahkan isterinya, Zainun Majid ketika dihubungi Bernama.

“Semalam, kira-kira 10 malam dia ada panggil saya ‘yang’ (sayang)...itu adalah kali terakhir dia panggil saya. Saya tanya dia nak air ke tapi arwah hanya diam namun matanya terbuka.

“Allahyarham sudah lima tahun terlantar sakit. Sebelum meninggal dunia, arwah memang tidak banyak bercakap,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kesihatan Roslan yang mesra disapa sebagai Pak Lan, terjejas akibat penyakit diabetes kronik sejak kira-kira empat tahun lepas.

Terdahulu, anak perempuan Allahyarham, Farahanis Roslan berkongsi menerusi catatan di laman sosial Facebooknya berkenaan kematian bapanya itu.

“Dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda saya Roslan Saleh baru saja meninggal dunia sebentar tadi,” katanya.

Jenazah pelakon tersebut akan dibawa ke Masjid Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka, untuk dimandi dan dikafankan serta disembahyangkan sebelum dikebumikan dijangka selepas solat Jumaat.

Roslan yang lebih 30 tahun terbabit dalam industri lakonan telah membintangi banyak drama dan filem antaranya Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2, Anak Perjanjian Syaitan dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Allahyarham bagaimanapun tidak lagi aktif dalam dunia lakonan selepas masalah kencing manis dan diabetes yang dihidapi.