• 2025-06-23 02:18 PM

KUALA LUMPUR: Penyelaras Program Road To Gold (RTG) Datuk Stuart Ramalingam memberi jaminan tidak akan mengabaikan kebajikan atlet di bawah program itu, yang berada di luar negara termasuk pemain skuasy negara S. Sivasangari dan Ng Eain Yow.

Stuart berkata program RTG komited untuk memberikan sokongan terbaik dalam memenuhi keperluan atlet bagi membantu mereka mencapai tahap prestasi optimum, tanpa mengira lokasi latihan mereka.

“Program sokongan membantu atlet berkelana di luar negara untuk berlatih, persekitaran, peningkatan prestasi dan meningkatkan keseluruhan program mereka disediakan, kita dapat lihat pada Sivasangari dan Eain Yow.

“Jadi, kalau atlet memerlukan bantuan tambahan begini, saya boleh bawa ke mesyuarat untuk mendapatkan kelulusan... Jika permintaan itu bersesuaian kepada peningkatan prestasi seseorang, sokongan 100 peratus diberikan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Stuart berkata barisan RTG turut melibatkan bekas atlet negara bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Mirnawan Nawawi dan Datuk Nicol Ann David yang berperanan dalam menilai keperluan sokongan kepada atlet.

Sivasangari, pemain nombor lapan dunia adalah sebahagian daripada program RTG, manakala Eain Yow yang kini di tangga ke-13 dunia menyertai program Fast Track RTG.

Selain Sivasangari, lapan pemain badminton termasuk pasangan beregu lelaki nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta rakan sepasukan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut diumumkan menyertai RTG.

Atlet lain yang menyertai program itu ialah atlet angkat berat Mohd Aniq Kasdan dan pelumba basikal trek Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Tiga pemanah recurve wanita negara iaitu Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil juga bersetuju menyertai program Fast Track RTG.