TAPAH: Sebuah rumah perantaraan akan beroperasi sepenuhnya di Taiping pada September ini yang berfungsi membantu prospek mendalami pelbagai ilmu bermanfaat selepas dibebaskan dari ‘tirai besi’.

Pengarah Penjara Negeri Perak Timbalan Komisioner Penjara C. Charin Promwichit berkata kemudahan yang akan diuruskan oleh Pejabat Parol Daerah Larut Matang dan Selama itu dijangka mampu menempatkan sekitar 50 prospek dalam satu-satu masa.

“Kebiasaannya prospek yang diletakkan di rumah perantaraan ini dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai atau belum diterima oleh waris untuk kembali ke pangkuan keluarga.

“Di rumah perantaraan ini, bekas prospek akan didedahkan dengan pelbagai program melibatkan hal-hal pendidikan, keagamaan, khidmat masyarakat dan sebagainya bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pelepasan Ihsan Madani sempena Hari Kebangsaan di Penjara Tapah di sini hari ini.

Rumah perantaraan menjadi premis tempat tinggal atau kelas pembelajaran sementara disediakan oleh Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bagi menempatkan Orang Diparol (ODP) dan bekas banduan (Residen) yang baru dibebaskan.

Melalui kemudahan berkenaan, para prospek juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat dan bersifat keilmuan dalam tempoh tiga bulan berturut-turut setelah tamat menjalani hukuman di penjara.

Sementara itu, Charin berkata kewujudan lebih banyak rumah perantaraan diyakini mampu menyumbang dalam mengurangkan jumlah residivis iaitu pelaku jenayah melakukan kesalahan berulang.

“Statistik turut menunjukkan prospek yang menjalani program di bawah rumah perantaraan ini kadar residivis hanya 0.24 peratus berbanding 17 peratus yang direkodkan kepada prospek yang tidak mengikutinya (rumah perantaraan),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata seramai 411 prospek yang menghuni penjara seluruh negeri dibebaskan sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.

Mereka yang dibebaskan ini melibatkan kesalahan termasuk kes perlanggaran syarat membabitkan jenayah dilakukan.