PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) berkaitan e-dagang yang lebih komprehensif pada sidang pertama Parlimen tahun depan, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Sesi libat urus bagi kajian semula perundangan e-dagang telah bermula pada April 2024 dan dijangka siap pada Ogos ini. Armizan menjelaskan bahawa semakan ini diperlukan kerana kerangka perundangan sedia ada tidak mempunyai punca kuasa yang jelas untuk mengawal selia urus niaga elektronik.
“Akta Perdagangan Elektronik sebelum ini lebih bersifat ‘enabler act’ untuk mengiktiraf perdagangan elektronik, manakala penguatkuasaan bergantung pada Akta Perlindungan Pengguna melalui peraturan sementara,“ katanya.
Beliau menekankan pentingnya mendapatkan pandangan pemain industri, penjual, dan pengguna bagi memastikan kerangka perundangan baharu bersifat adil dan menyokong pertumbuhan sektor e-dagang.
E-dagang merupakan sektor penting dalam ekonomi negara, dengan nilai pendapatan meningkat dari RM1.13 trilion pada 2022 kepada RM1.22 trilion pada 2023. “Kita tidak mahu pendekatan perundangan ini mengekang perkembangan sektor ini,“ ujarnya.
Armizan turut menyatakan bahawa mekanisme kawal selia perlu meliputi platform e-dagang luar negara, memandangkan KPDN tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan ke atas platform yang tidak beroperasi secara fizikal di Malaysia.
“Lambakan produk asing tanpa kawalan menjejaskan pemain industri tempatan dan menimbulkan ketidakadilan cukai,“ jelasnya.
Malaysia kini menjalin perbincangan dengan negara seperti China dan Turki bagi mewujudkan kerjasama kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk mengawal selia platform e-dagang rentas sempadan.
Kajian semakan perundangan ini melibatkan 23 siri libat urus, enam perbincangan meja bulat, dan lawatan penanda aras ke luar negara dengan penyertaan lebih 300 responden. Sesi libat urus akan diteruskan di Sabah dan Sarawak. - Bernama