• 2025-10-11 08:44 PM

KANGAR: Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang telah diluluskan Parlimen kini dalam proses mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum diwartakan untuk memelihara hak dan memperkukuh kebajikan pekerja dalam sektor gig di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata RUU itu cukup bersejarah kepada negara ini dan amat penting untuk pekerja gig yang terdedah kepada pelbagai risiko namun hak mereka tidak terpelihara sepenuhnya.

Sim berkata selepas diwartakan dan dikuatkuasakan, RUU itu akan membolehkan pekerja sektor berkenaan antaranya mempunyai akses kepada mekanisme aduan sekiranya ada sebarang pertikaian dan mempunyai hak berpersatuan selain perlindungan menyeluruh di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Sebelum ini memang tak ada institusi perburuhan yang melindungi sektor gig contohnya tak boleh pergi mahkamah buruh, tidak diliputi Akta Majlis Perundingan Gaji Negara iaitu tentang isu gaji minimum, tak ada perlindungan PERKESO yang menyeluruh.

“Isu keselamatan dan kesihatan tempat pekerjaan ataupun Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan semua ini tak ada, selepas adanya RUU ini maka dalam peruntukan di bawah RUU ada perkara-perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Negeri Perlis 2025 di sini hari ini.

Sim berkata setakat ini RUU itu mencukupi untuk pekerjaan sektor gig iaitu kesemua undang-undang digubal berdasarkan keperluan semasa, peredaran zaman dan pelbagai faktor dalam pasaran kerja dan ekonomi.

Beliau berkata pihaknya sedang giat melaksanakan siri jelajah memberikan penerangan mengenai RUU tersebut kepada pekerja sektor gig sedia ada termasuk memberikan maklum balas terhadap pertanyaan serta penjelasan tentang hak mereka.

Sementara itu, Sim berkata kerajaan memperuntukkan 10 juta ringgit bagi pembangunan hal ehwal kesatuan sekerja di seluruh negara tahun depan, dalam usaha memperkukuh gerakan pekerja serta mempertingkatkan kebajikan golongan tersebut.

“Dana ini boleh dipohon melalui Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan terbuka kepada semua kesatuan sekerja sektor awam dan swasta,” katanya. – Bernama