IPOH: Seorang tukang kayu menerima sembilan jahitan di tangan kanan akibat dilibas parang ketika disamun dua lelaki dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Loke Yew di Tanjung Malim, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata mangsa berusia 62 tahun yang tinggal seorang diri pada mulanya terdengar salakan kuat anjing dan mendapati dua lelaki sedang memecahkan tingkap rumah mangsa dalam kejadian pada 5.30 pagi itu.

“Mangsa bertindak mengunci pintu bilik, dan apabila suspek menyedari mangsa berada di dalam bilik rumah itu, kedua-dua suspek memecahkan pintu bilik berkenaan dan berlaku pergelutan antara mereka.

“Salah seorang suspek telah melibaskan parang menyebabkan tangan kanan mangsa mengalami kecederaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hasni berkata mangsa cedera di tangan kanan dan mengalami kerugian kira-kira RM1,200 apabila suspek melarikan seutas jam tangan, sebuah telefon bimbit, wang tunai serta dokumen pengenalan diri.

Sementara itu, Mohd Hasni berkata pihaknya sedang giat memburu suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.