• 2025-06-18 10:13 PM

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd menerima anugerah daripada Union Internationale des Transports Publics (UITP) pada majlis khas di Hamburg, Jerman baru-baru ini.

Sarawak Metro dalam kenyataan hari ini memaklumkan Anugerah Pengiktirafan Khas UITP adalah bagi mengiktiraf usaha syarikat itu dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida melalui pelaksanaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Menurut Sarawak Metro, lebih 300 penyertaan diterima untuk sembilan kategori pada Anugerah Global UITP tahun ini daripada peserta dari 50 negara.

Menerusi kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa berkata hakikat bahawa syarikat tersebut telah disenarai pendek sebagai finalis bagi anugerah berkenaan sudahpun dianggap sebagai satu kejayaan.

“Meskipun saya optimis dengan penyertaan kami, saya amat bangga apabila mengetahui bahawa Sarawak Metro telah melayakkan diri sebagai finalis bagi Anugerah Global UITP.

“Kini, apabila menerima Anugerah Pengiktirafan Khas UITP bagi kerja-kerja yang kami lakukan sememangnya adalah satu penghormatan namun pada masa sama, kami di Sarawak Metro dengan rendah hati menerima pengiktirafan ini daripada sebuah organisasi yang begitu dihormati seperti UITP,” katanya.

Beliau berkata anugerah antarabangsa ini akan terus memotivasikan seluruh warga Sarawak Metro untuk mencapai matlamatnya bagi menyediakan sistem pengangkutan awam moden untuk Kuching yang dijadualkan bermula pada 2026.

Sarawak Metro adalah anggota UITP, yang ditubuhkan pada 1885.

UITP adalah satu-satunya rangkaian di seluruh dunia yang menghimpunkan semua pihak berkepentingan dalam pengangkutan awam dan mod pengangkutan lestari.

Persidangan UITP adalah acara khas bagi sektor pengangkutan awam yang menyaksikan kehadiran lebih 10,000 pemain industri terdiri daripada pengendali, pihak berkuasa, pembekal dan penggubal dasar dari seluruh dunia.