• 2025-09-03 07:51 PM

KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau serantau menerusi projek rintis eksport hidrogen dan perkongsian strategik dengan negara luar.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri itu sedang melaksanakan projek rintis untuk mengeksport hidrogen dalam bentuk pepejal ke Singapura menggunakan teknologi magnesium hidrida.

Teknologi ini membolehkan pengangkutan lebih selamat dan cekap sebelum hidrogen dicairkan untuk digunakan.

Beliau menyatakan pengeluaran hidrogen dimulakan dengan kilang berskala kecil walaupun kos awalnya adalah tinggi.

“Seperti teknologi komputer yang semakin murah dari semasa ke semasa, kos pengeluaran hidrogen dijangka berkurangan dengan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan,“ katanya pada sesi dialog Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Baharu (SAREF 4.0).

Mengenai kerjasama antarabangsa, Abang Johari berkata Sarawak bekerjasama rapat dengan negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu.

Bersama Jepun, Sarawak merancang untuk mengeluarkan 100,000 tan hidrogen setiap tahun dengan 90,000 tan dieksport ke Jepun dan bakinya untuk penggunaan tempatan.

Kerjasama dengan Korea Selatan termasuk pembangunan tenaga boleh baharu dengan memanfaatkan rizab gas asli Sarawak yang kaya.

Gas asli tersebut boleh diproses menjadi amonia hijau iaitu bahan api alternatif yang semakin meningkat dan mendapat perhatian global.

Sarawak juga sedang menjalankan kajian tenaga gabungan di United Kingdom dan kerjasama dengan Amerika Syarikat mengenai teknologi tenaga termaju.

SAREF 4.0 adalah sebahagian daripada program rasmi bagi Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang mengukuhkan peranan penting Sarawak sebagai pemangkin kerjasama tenaga serantau. – Bernama