KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia menyalurkan dana tambahan untuk membangunkan infrastruktur menuju ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) sebagai usaha mempercepat proses naik taraf sempadan Malaysia di negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keutamaan bagi dana tambahan itu antaranya akan diberikan kepada CIQS Tebedu, Serian-Entikong, Indonesia serta Ba’kelalan, Lawas-Long Midang, Indonesia yang masing-masing terletak di selatan dan utara negeri.

“Kita memang sudah ada kerjasama (dengan kerajaan Persekutuan) dan pendekatan untuk majukan kawasan persempadanan, lebih-lebih lagi Tebedu-Entikong dan Ba’Kelalan.

“Kita sukarela untuk tolong contohnya sebab ada berkembar. Laluan kenderaan ke Tebedu dan terdapat kawasan industri bersebelahan Tebedu, supaya kita dapat membina jalan raya dan melabur di sana,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku Gabenor Pertama Sarawak Tun Openg, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof semalam mengenai peruntukan RM1 bilion untuk menaik taraf CIQS belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh kementerian dan agensi berkaitan.

Pada Januari 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berkenaan untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan CIQS di sempadan Sarawak dan Sabah.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata pelaksanaan menaik taraf sempadan Malaysia perlu disegerakan mengambil kira faktor pembinaan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara yang terletak di Kalimantan.

“RM1 bilion bukan untuk Tebedu, Serian sahaja, ia termasuk Ba’kelalan, Lawas serta Tapak Megah, Kapit, iaitu pos sempadan baharu...RM1 bilion tidak mencukupi tetapi kita tumpukan kepada apa yang kita ada dahulu sebab kos keseluruhan pembinaan agak tinggi,” katanya.