• 2025-07-22 02:55 PM

PETALING JAYA: Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa dia tidak pernah membiarkan kanak-kanak autistik itu bersendirian, sebaliknya hanya berpisah semasa waktu bekerja dan sesi persekolahan.

“Tidak pernah sama sekali, saya yang mengandung, melahirkan dan membesarkan Zayn (Zayn Rayyan). Sepanjang usia Zayn saya hanya berpisah dengannya pada waktu saya bekerja dan Zayn di sekolah sahaja.

“Saya tidak pernah membiarkan Zayn bersendirian atau mengabaikan,“ kata Ismanira Abdul Manaf.

Saksi pembelaan pertama itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Haresh Mahadevan yang mewakilinya pada hari kedua prosiding membela diri dalam kes pengabaian membabitkan kanak-kanak malang itu.

Ismanira, 30, dengan tegas berkata dia tidak pernah mengabaikan Zayn Rayyan seumur hidupnya seperti mana dalam pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

“Saya tidak berada di Blok R sepanjang masa dan saya tidak pernah ke kawasan sungai seperti dalam pertuduhan. Saya benar-benar hilang anak pada hari (5 Dis 2023) tersebut dan bukan saya mengabaikan,“ katanya.

Semalam, Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung petang ini. - Bernama