IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan berhubung kehadiran seekor lagi harimau belang di sekitar Kampung Ulu Kuang, Chemor di sini, sejak 11 Feb lepas.

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata aduan tersebut dibuat semalam berdasarkan penemuan tapak kaki haiwan buas berkenaan di kawasan kebun milik seorang daripada penduduk kampung terbabit.

“Kita telah pasang kamera perangkap di satu lokasi yang difikirkan menjadi laluan keluar dan masuk harimau berkenaan dari Hutan Simpan Bukit Kinta ke kampung tersebut.

“Kita harap penduduk berwaspada dan jangan sesekali melakukan tindakan provokasi terhadap haiwan berkenaan sekiranya terserempak,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Yusoff berkata haiwan pemangsa berkenaan juga dikategorikan sebagai harimau dewasa dan dianggarkan seberat 120 kilogram (kg).

“Anggaran berat dan usia kita lakukan berdasarkan penemuan tapak kaki namun daripada segi jantina kita belum dapat kenal pasti lagi,” katanya.

Pada 10 Feb lepas, seekor harimau belang jantan seberat 156 kilogram yang dinamakan sebagai ‘Yop Kuang’ telah berjaya ditangkap pihak Perhilitan di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, kehadiran seekor lagi harimau belang ke kampung itu semalam telah dilihat oleh seorang penduduk kampung Mohamed Khairi Shafiei, 63, sekitar 7 malam, ketika haiwan pemangsa itu melintasi jalan kira-kira tujuh meter di hadapan keretanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Ulu Kuang Hamdan Ishak, 57, berkata perasaan takut kembali menghantui penduduk kampung akibat daripada penemuan tapak kaki haiwan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya beliau telah meminta para penduduk kampung supaya mengehadkan aktiviti terutama di waktu malam.

“Pada asalnya, kami memang rasa lega sangat selepas Perhilitan dapat tangkap ‘Yop Kuang’ yang mengganggu kami di sini sejak setahun lalu. Tapi tak sangka rupa-rupanya ada lagi seekor.

“Ini menyebabkan perasaan takut datang semula. Jadi, saya harap Perhilitan dapat bertindak untuk pastikan harimau ini dapat ditangkap,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image