KLANG: Kerajaan Selangor kini berada di peringkat akhir pindaan Undang-Undang Kecil (UUK) bagi menyelaraskan pelaksanaan Hari Tanpa Beg Plastik di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata langkah ini sebahagian daripada pendekatan tiga serampang untuk menangani pencemaran plastik secara sistematik.
“Proses pindaan dijangka selesai tahun ini, dan pelaksanaan lebih meluas boleh dikuatkuasakan awal tahun depan,“ katanya sempena Kempen Bebas Plastik Siri 2 2025 di Klang hari ini.
Kerajaan negeri turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi merealisasikan kempen tanpa plastik.
“Portal lestariselangor.com akan dikemas kini sebagai platform menghimpun rakan strategik dan menyelaras penyertaan dalam kempen ini,“ jelas Jamaliah.
Jelajah Kempen Bebas Plastik Siri Kedua di Klang hari ini merupakan kesinambungan program sama di Sepang pada Mei lalu.
Semua aktiviti menggunakan bahan mesra alam bagi meningkatkan kesedaran peserta.
“Kita akan bergerak ke Sabak Bernam pada 23 Ogos dengan tekad menghentikan ketagihan plastik dan memperjuangkan alam sekitar yang bersih,“ tambahnya. – Bernama