• 2025-09-04 08:23 PM

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang melaksanakan inventori menyeluruh terhadap infrastruktur tidak bertuan di seluruh negeri bagi mengatasi isu penyelenggaraan serta bencana banjir yang kerap melanda beberapa kawasan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata proses inventori atau pemetaan itu merangkumi jalan, cerun, kolam takungan, dan jambatan yang secara asasnya tiada jabatan atau agensi rasmi bertanggungjawab.

Beliau menjelaskan usaha ini merupakan kesinambungan kejayaan Kerajaan Negeri menyelesaikan inventori longkang tidak bertuan sepanjang lebih 500 kilometer melalui kerja pembersihan besar-besaran dengan peruntukan one-off sebanyak 5 juta ringgit tahun ini.

Izham menyatakan sesetengah pembangunan melibatkan lebih tiga agensi, menjadikan masalah infrastruktur tidak bertuan bukan isu kecil.

Beliau menegaskan apabila tiada pihak mengurus dan tiada penyelenggaraan konsisten, ia menjadi satu daripada punca banjir kilat di beberapa kawasan.

Unit Perancang Ekonomi Negeri telah diarahkan memulakan inventori keempat-empat jenis infrastruktur ini dengan sasaran siap dalam tempoh enam bulan.

Izham berkata sebahagian infrastruktur dibina atas tanah persendirian melalui persetujuan lisan dengan pemilik, tanpa pengambilalihan rasmi.

Keadaan ini memungkinkan berlaku pertikaian apabila hak milik tanah bertukar, sekali gus menyekat akses penyelenggaraan.

Kerajaan Negeri telah menetapkan dasar baharu bagi menentukan agensi bertanggungjawab untuk setiap jenis infrastruktur.

Contohnya, parit atau longkang yang mengalir ke sungai berada di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran, manakala saliran ke sistem perparitan bandar diuruskan pihak berkuasa tempatan.

Langkah ini bertujuan memastikan tiada lagi infrastruktur terbiar yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk.

Inisiatif itu juga disokong melalui Pelan Induk Saliran Mesra Alam oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, yang menggariskan penyelesaian jangka panjang bagi menangani banjir kilat berdasarkan kapasiti dan keberkesanan sistem saliran sedia ada.

Izham menekankan komitmen kerajaan negeri menyelesaikan isu infrastruktur tidak bertuan secara menyeluruh demi kelestarian pembangunan negeri.

Beliau menegaskan semua pihak tidak boleh bekerja secara silo dan perlu memastikan setiap pelaksanaan berjalan serentak. – Bernama