KUALA LUMPUR: Skop semakan dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka secara langsung menyokong matlamat pengukuhan fiskal jangka sederhana Malaysia, kata Ernst and Young (EY) Tax Consultants Sdn Bhd.

Pendekatan itu dijangka dapat meningkatkan kutipan cukai tanpa memperkenalkan cukai-cukai baharu, yang membolehkan kerajaan secara beransur-ansur menambah hasil dengan memasukkan perkhidmatan tambahan dalam skop cukai perkhidmatan serta mengkaji semula kadar cukai jualan, kata Rakan Kongsi Pengurusan Cukai EY Malaysia Farah Rosley.

“Ini terutamanya kerana Malaysia mempunyai asas cukai yang agak sempit. Peluasan skop SST membolehkan kerajaan menjana hasil daripada sektor-sektor tertentu, terutamanya dalam ekonomi perkhidmatan yang semakin berkembang, sambil memastikan barangan asas dan perkhidmatan penting terus dilindungi daripada dikenakan cukai.

“Dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan yang berkesan, langkah-langkah ini boleh membantu menstabilkan kewangan awam, mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan minyak dan mewujudkan ruang fiskal untuk subsidi bersasar atau program kebajikan yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat,“ katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan bermula 1 Julai, 2025, bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dan menambah baik sokongan terhadap kebajikan rakyat.

Menurut Farah, peluasan cukai perkhidmatan untuk merangkumi lebih banyak sektor mencerminkan pendekatan progresif kerajaan dalam melindungi golongan rentan daripada beban kewangan yang tidak wajar.

“Bagi cukai perkhidmatan, peluasan kepada sektor seperti sewaan, pajakan, pembinaan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan, perkhidmatan kewangan dan kecantikan mencerminkan usaha untuk menyelaraskan sistem cukai dengan corak perbelanjaan yang semakin berkembang, terutamanya di kawasan bandar di mana perbelanjaan berasaskan perkhidmatan semakin berkembang,” katanya.

Selain itu, beliau berpandangan bahawa semakan cukai jualan adalah selari dengan agenda pengukuhan fiskal yang lebih menyeluruh, bertujuan untuk meluaskan asas cukai, meningkatkan hasil dan mengurangkan defisit belanjawan kerajaan Persekutuan.

“Dengan mengenakan kadar cukai jualan yang lebih tinggi secara terpilih ke atas barangan tidak penting atau barangan premium, kerajaan dapat memastikan bahawa barangan keperluan harian seperti beras, sayur-sayuran, susu, minyak masak dan ubat-ubatan kekal bebas cukai pada kadar sifar peratus, sekali gus meminimumkan impaknya terhadap isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Kesan langsung ialah minimum

Bagaimanapun, Farah percaya bahawa kesan langsung terhadap perbelanjaan pengguna dan inflasi dijangka sederhana dan bersasar, memandangkan perubahan cukai ini direka bentuk untuk tidak menjejaskan barangan dan perkhidmatan asas.

“Rangka kerja SST yang disemak akan memberi implikasi yang berbeza mengikut sektor, bergantung kepada jenis barangan dan perkhidmatan yang terlibat, tahap kebergantungan kepada input import dan pendedahan sektor itu kepada sensitiviti harga pengguna.

“Kesimpulannya, walaupun mungkin terdapat sedikit tekanan kenaikan harga ke atas barangan pengguna tertentu, kesan inflasi secara keseluruhan dijangka dapat dikawal, asalkan perniagaan membuat penyesuaian dengan cekap dan berhati-hati,“ tambahnya.

Sementara itu, Ketua Cukai Tidak Langsung Deloitte Malaysia Tan Eng Yew berpendapat bahawa peluasan rejim SST dijangka dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih tinggi.

“Tugas penting yang seterusnya untuk kerajaan adalah dengan memantau harga barangan dan perkhidmatan serta mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan yang menaikkan harga secara tidak munasabah.”

“Perkara paling penting ialah pelaksanaan perubahan oleh kerajaan untuk mengawal kesan terhadap harga barangan dan perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

Beliau seterusnya menambah bahawa sebarang peluasan dalam skop cukai akan memberi sumbangan positif kepada kedudukan fiskal negara.