• 2025-10-09 10:14 AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan atlet muda Muay Thai negara Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sebagai lambang keazaman dan mempunyai semangat juang tinggi yang wajar dicontohi anak muda Malaysia.

Anwar menerusi satu hantaran di Facebook berkata kejayaan atlet yang lebih dikenali sebagai Jojo itu, mengharumkan nama negara, malah mencerminkan nilai sebenar seorang anak muda Malaysia yang berdisiplin, tidak mudah mengalah dalam mengejar impian.

“Lebih membanggakan, saudara Jojo turut aktif menyuarakan pandangan dan menyertai kempen kesedaran bagi membanteras budaya buli, serta menyuntik inspirasi kepada anak muda untuk membina keyakinan diri, keteguhan jati diri dan semangat positif dalam kehidupan seharian,“ kata beliau.

Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan bahawa dengan semangat serta sokongan berterusan, diharapkan lebih banyak atlet muda akan lahir untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Selain itu, Anwar turut mengungkap kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy, iaitu “usah bertanya apa sumbangan negara kepadamu, tetapi tanyalah apa sumbanganmu kepada negara”, yang menyemai budaya kecintaan kepada negara serta semangat kolektif membangun negara dan masyarakat.

“Tahniah Jojo atas kejayaan dan komitmen terhadap negara serta masyarakat. Justeru, teruskan usaha gigih saudara yang menyinar serta meniup inspirasi kepada generasi muda yang cinta serta mahu menyumbang kepada negara,” katanya yang turut memuat naik beberapa keping gambar ketika menerima kunjungan delegasi Jojo hari ini.

Pada awal September lepas, Jojo mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih kemenangan technical knockout bergaya terhadap lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari dalam masa hanya dua minit 10 saat untuk kategori flyweight pada kejohanan ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Thailand.

Kemenangan sulung Jojo tahun ini menutup episod dua kekalahan berturut-turut yang dialaminya sebelum ini - Bernama