Your Title

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan lanjutan reman selama satu dan dua hari terhadap sembilan individu termasuk isteri-isteri kepada pemimpin kanan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Majistret M Mageshwary membenarkan lanjutan reman bermula hari ini terhadap semua individu berusia 18 hingga 55 tahun terdiri daripada tujuh wanita dan dua lelaki itu, selepas membenarkan permohonan dikemukakan polis.

Tempoh reman tujuh hari terhadap kesemua mereka yang bermula 28 Sept lepas tamat hari ini.

Peguam Boestamam Ahmad yang mewakili kesemua individu berkenaan berkata semua wanita terbabit disambung reman sehari manakala lelaki dua hari, dengan siasatan terhadap anak guamnya dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Beliau berkata mereka dijangka dibebaskan dari tahanan pada 4.30 petang ini dan pagi esok dengan jaminan polis.

Terdahulu, kesemua mereka tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 10.15 pagi dengan dikawal ketat anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Empat daripada mereka yang dipercayai isteri pemimpin kanan GISBH termasuk seorang warga asing, serta tiga wanita dan dua lelaki ditahan di sekitar Rawang pada 27 Sept lepas.

Pada 11 Sept, polis menerusi Op Global telah melakukan serbuan terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak yang membawa kepada penahanan beberapa individu dikaitkan dengan GISBH.