SEREMBAN: Polis menembak mati seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dipercayai terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah di Jalan Persiaran Seremban 2/1, malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kejadian itu berlaku pada ketika Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang melakukan rondaan pencegahan sekitar jam 10.30 malam, telah mengesan sebuah kereta jenis Mercedes berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan polis telah cuba menahan kereta itu untuk membuat pemeriksaan, namun kereta dipandu suspek yang berasal dari Klang itu telah merempuh pasukan polis sebelum terdengar beberapa bunyi letupan tembakan.
“Bunyi tembakan daripada kenderaan suspek telah kedengaran dan untuk mempertahankan diri pasukan polis telah lepaskan beberapa das tembakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata apabila keadaan sudah tenang (tiada dengar bunyi tembakan), pasukan polis membuat pemeriksaan terhadap kereta tersebut dan didapati seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan.
Ahmad Dzaffir berkata hasil pemeriksaan dilakukan menemukan sepucuk pistol jenis Llama bersaiz 9mm bersama dua butir peluru hidup dalam kenderaan tersebut.
Beliau berkata semakan rekod terhadap suspek mendapati terdapat lapan rekod lampau berkaitan dadah dan kes jenayah serta satu rekod dikehendaki bersabit kes jenayah terancang di Pulau Pinang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (FIPA) 1971.