MOSCOW: Serbuan oleh Perkhidmatan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) yang bertujuan mengenal pasti migran tanpa dokumen di pusat bandar Los Angeles bertukar menjadi pertempuran dengan penunjuk perasaan, lapor Los Angeles Times seperti dilaporkan oleh RIA Novosti.

Menurut LA Times, ketegangan memuncak selepas pasukan keselamatan menahan pekerja di sebuah gudang pakaian borong, termasuk ketua kesatuan sekerja tempatan, mencetuskan protes penduduk setempat di hadapan gudang dan pejabat pihak berkuasa persekutuan di bandar terbabit.

Penunjuk perasaan yang berkumpul di hadapan gudang cuba menghalang pintu pagar dan laluan kenderaan pasukan keselamatan, menurut laporan akhbar.

Polis kemudiannya tiba di gudang berkenaan dengan mengenakan alat perlindungan.

Terdapat juga laporan mengenai sekumpulan individu melemparkan ketulan konkrit ke arah anggota polis.

Amaran taktikal di seluruh bandar diisytiharkan tidak lama selepas itu, manakala lebih 40 orang ditahan dalam serbuan berkenaan.

Pada Januari lalu, Trump, dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47, berikrar untuk segera menghentikan kemasukan pendatang haram dan memulakan proses pengusiran berjuta-juta migran.