• 2025-07-19 08:32 PM

SINGAPURA: Negara ini sedang berdepan serangan siber berterusan ke atas infrastruktur kritikal oleh kumpulan ancaman canggih dikenali sebagai UNC3886, menurut Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, K Shanmugam.

Beliau berkata Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) bersama agensi berkaitan sedang giat menangani serangan tersebut dan bekerjasama dengan pemilik infrastruktur maklumat kritikal (CII) yang terlibat.

“UNC3886 merupakan ancaman serius kepada kita dan berpotensi menjejaskan keselamatan negara. Atas faktor keselamatan, kita tidak akan mendedahkan butiran lanjut mengenai serangan ini buat masa ini,“ katanya dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 CSA pada Jumaat.

Menurut Shanmugam, UNC3886 menggunakan peralatan canggih untuk menceroboh sistem, mengelak dikesan, dan mengekalkan akses dalam rangkaian mangsa secara berterusan. Sasaran utama mereka adalah infrastruktur strategik bernilai tinggi yang menyokong perkhidmatan asas negara.

“Jika serangan ini berjaya, ia boleh digunakan untuk kegiatan pengintipan dan boleh menyebabkan gangguan besar kepada Singapura dan rakyatnya,“ tambahnya.

Penyelidikan syarikat keselamatan siber menunjukkan UNC3886 telah aktif sejak akhir 2021 dan dikaitkan dengan serangan ke atas sektor pertahanan, telekomunikasi, dan teknologi di Amerika Syarikat dan Asia.

CSA memaklumkan bahawa jumlah serangan berkaitan kumpulan APT di Singapura meningkat lebih empat kali ganda dari 2021 hingga 2024. Agensi itu kini menjalankan siasatan menyeluruh dan bekerjasama dengan organisasi terjejas untuk mengukuhkan pertahanan siber.

“CSA sedang memantau semua sektor kritikal dan berkongsi maklumat ancaman bagi membolehkan langkah pencegahan diambil,“ menurut kenyataan rasmi agensi itu. - Bernama