• 2025-06-20 09:14 AM

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan dan dukacita terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor tidak terpakai kepada Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia, pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya kepada individu.

Perkara itu dizahirkan baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini. .

Sehubungan itu, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum Malaysia tidak lagi menggunakaan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut.

“Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum Malaysia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam,” menurut hantaran itu.

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan SIS Forum Malaysia dan pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar dalam tindakan mereka yang mencabar fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 mengetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi.

Sementara itu, Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin dalam kenyataan berkata MAIS tidak sependapat dengan sebahagian daripada keputusan Mahkamah Persekutuan itu khususnya yang memutuskan bahawa fatwa bertarikh 31 Julai 2014 berkenaan hanya terpakai kepada individu tetapi tidak terpakai kepada SIS Forum Malaysia, pertubuhan atau institusi.

Beliau berkata MAIS menzahirkan rasa dukacita kerana keputusan tersebut secara tidak langsung mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan hukum syarak.

“MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.

“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya.