• 2025-07-12 05:57 PM

KUCHING: Sistem pemetaan hutan tiga dimensi (3D) berteknologi tinggi yang dibangunkan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mampu memperkukuh kapasiti negeri dalam perdagangan karbon.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan sistem ini membantu mengenal pasti kawasan hutan dengan potensi tinggi dalam penyerapan karbon.

Beliau berkata, data yang diperoleh melalui sistem pemetaan ini penting untuk menentukan jumlah kapasiti serapan karbon hutan secara menyeluruh. “Jika kita mempunyai data seperti ini, kita boleh tentukan kapasiti serapan karbon hutan kita. Data ini juga boleh menyokong pelaksanaan levi atau cukai karbon,“ katanya semasa berucap pada sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri.

Selain itu, Abang Johari menekankan komitmen kerajaan Sarawak dalam mengintegrasikan prinsip ekonomi kitaran dalam inisiatif ekonomi hijau. Ini termasuk menggalakkan kitar semula sisa buangan dari kilang minyak sawit dan ternakan untuk menghasilkan tenaga hijau seperti hidrogen dan metana.

Beliau turut berkongsi bahawa pendekatan ekonomi kitaran Sarawak telah menarik perhatian di peringkat antarabangsa, termasuk di Sidang Kemuncak ASEAN dan Persidangan Hidrogen Asia Dunia 2025 di Tokyo. “Frasa ‘don’t waste the wastes, monetise the wastes’ yang saya sebut di ASEAN mendapat sambutan baik. Dunia mengiktiraf usaha kita,“ ujarnya.

Abang Johari juga dimaklumkan akan dijemput untuk berkongsi dasar ekonomi hijau Sarawak di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. - Bernama