• 2025-10-15 03:10 PM

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara S. Sivasangari kini hanya selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan selepas mara ke perlawanan akhir Kejohanan Silicon Valley Open di Redwood City, Amerika Syarikat, hari ini (waktu Malaysia).

Pemain ranking ke-8 dunia yang juga pilihan ketiga itu mempamerkan prestasi cemerlang apabila menundukkan pilihan ketujuh dari Mesir, Salma Hany, 3-0 dalam masa hanya 22 minit pada aksi separuh akhir.

Sivasangari memperagakan ketepatan pukulan dan ketenangan permainan sepanjang perlawanan untuk mencatat kemenangan 11-3, 11-9, 11-5, sekali gus menempah tempat ke final yang dinanti-nantikan.

Menanti beliau di pentas akhir ialah pilihan utama kejohanan dari Amerika Syarikat, Olivia Weaver, lawan yang pernah menewaskannya dalam tujuh daripada lapan pertemuan terdahulu.

Terdahulu, Weaver melangkah ke final selepas menundukkan pemain England, Georgina Kennedy 3-0 (11-5, 11-3, 11-4) dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. - Bernama