• 2025-06-26 02:58 PM

KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) menegaskan bahawa tiada ejen atau pihak ketiga dilantik untuk menawarkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

Dalam kenyataan hari ini, MEITD memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tawaran pendidikan percuma yang memerlukan bayaran atau imbuhan.

Tindakan sedemikian dianggap tidak sah dan berpotensi penipuan.

“MEITD tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyalahgunakan nama kementerian atau kerajaan Sarawak,“ menurut kenyataan itu.

Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Maklumat rasmi mengenai FTES hanya akan dikeluarkan melalui saluran komunikasi rasmi kerajaan Sarawak.