KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah membuktikan bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah sah dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata tindakan memfailkan semakan kehakiman terhadap prosiding Mahkamah Tinggi Syariah merupakan percubaan mengganggu fungsi kehakiman yang sah, namun telah ditolak sepenuhnya oleh Mahkamah Persekutuan.
“Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pengasingan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan syariah. Keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dicabar atau dibicarakan semula di mahkamah sivil,“ katanya.
Mohd Na’im menekankan bahawa mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa tersendiri yang diiktiraf secara perundangan.
“Percubaan membenarkan campur tangan mahkamah sivil dalam keputusan syariah bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan, malah mengancam kestabilan sistem kehakiman dualisme di Malaysia,“ jelasnya.
Beliau turut menyeru rakyat menghormati keputusan kedua-dua mahkamah sebagai institusi kehakiman berdaulat.
“Mahkamah sivil dan syariah perlu dilihat sebagai saling melengkapi, bukan bersaing, demi menegakkan keadilan dalam kerangka undang-undang negara,“ ujarnya.
Mohd Na’im juga menggesa semua pihak mengelak mempolitikkan isu ini sebaliknya memperkukuh prinsip kedaulatan undang-undang.
Sebagai menteri bertanggungjawab, beliau bertekad mempertahankan martabat Mahkamah Syariah agar terus dihormati dan dipercayai.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Maria Chin untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung notis tunjuk sebab oleh Mahkamah Syariah atas dakwaan menghina mahkamah.
Panel tiga hakim mendapati tiada isu perundangan baharu yang membenarkan rayuan didengar.