SEREMBAN: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP) berjumlah RM85.9 juta kepada koperasi yang menjalankan produk berskala besar setakat April lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata inisiatif itu diwujud bagi membantu serta memudahkan koperasi dalam penyediaan dana untuk melaksanakan projek berdaya maju.

“Ia termasuk pembiayaan Cagaran (PKTC), Pembiayaan Koperasi Mikro (MicCoopFi-1), Pembiayaan Permulaan (SuFi-1), Pembiayaan Lestari (LesFi-1), Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik (Best100Fi-1) Good Pay Master Financing (GPMFi-1).

“Ia turut bertujuan menggalakkan perkembangan koperasi dengan tabung berkenaan menawarkan pembiayaan maksimum RM30 juta secara bercagar serta pembiayaan tanpa cagaran ialah sebanyak RM200,000,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci projek perumahan Taman Nesa Delima di sini hari ini.

Beliau berkata setakat Disember 2023, sebanyak 15,809 koperasi berdaftar dengan 7.2 juta keahlian di seluruh negara membabitkan yuran tahunan RM17.4 bilion manakala aset berjumlah RM165.8 billion dan perolehan RM64 bilion.

Ramanan turut menyeru komuniti India supaya meningkatkan lagi penglibatan dalam koperasi dan setakat 2023, terdapat 419 koperasi India di seluruh negara dengan keahlian hampir 250,000.

“Jumlah ini sangat rendah dan adalah merugikan jika komuniti India tidak mempunyai kesedaran serta mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam koperasi.

“Kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu masyarakat menerusi gerakan koperasi,” katanya.

Beliau berkata bagi menggalakkan gerakan koperasi masyarakat India, satu kongres akan diadakan tahun ini bagi membincangkan isu, cabaran dan hala tuju koperasi komuniti itu pada masa akan datang.

Terdahulu, Ramanan berkata projek Perumahan Taman Desa Delima di tanah seluas 3.2 hektar yang telah dipindah milik kepada Koperasi Nesa 1980 memuatkan 62 unit rumah berkembar dan 6 unit banglo dengan nilai Pembangunan Kasar RM30 juta.