KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan melaksanakan rangka kerja kawal selia bagi skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) secara menyeluruh dan mampan.
Langkah ini bagi memastikan rakyat tidak terjerumus ke dalam kancah hutang yang boleh membawa kepada peningkatan kes muflis.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata syarikat BNPL akan diwajibkan lakukan penilaian kemampuan berhutang sebelum meluluskan pinjaman.
“Penilaian ini penting untuk pastikan pengguna mampu bayar balik tanpa tekanan kewangan serius,“ katanya semasa penggulungan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 di Dewan Rakyat.
SKP juga akan tetapkan keperluan agar penyedia BNPL dedahkan semua maklumat terma kredit termasuk fi dan caj sebelum tawaran kredit dibuat.
“Kerajaan tekankan kepentingan literasi kewangan supaya rakyat lebih bijak urus kewangan dan fahami risiko BNPL berlebihan,“ tambah Lim.
Pasaran BNPL di Malaysia berkembang pesat dengan 16 syarikat aktif termasuk SPay Later, Atome, dan GrabPay Later yang menguasai lebih 95 peratus pasaran. - Bernama