PUTRAJAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan Kunak Jaya dari Sabah dinobatkan sebagai juara pertandingan akhir Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku Peringkat Kebangsaan 2025 di Menara Komunikasi.
Sekolah tersebut membawa pulang wang tunai RM6,000, piala pusingan, plak dan sijil kemenangan melalui persembahan bertajuk “Namamu Kekal Dalam Sejarah” yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Sekolah Seni Malaysia Sarawak dinobatkan sebagai naib johan manakala SMK Batu Maung dari Pulau Pinang meraih tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.
Tiga sekolah lain iaitu SMK Idris Shah dari Perak, SMK Sultan Abdul Jalil dari Johor dan SMK Yam Tuan Radin dari Negeri Sembilan masing-masing menerima sagu hati.
Guru penyelaras SMK Kunak Jaya Rahmatia Saodi menyatakan kebanggaan terhadap persembahan bertenaga pelajar yang mengisahkan perjuangan Datu Mohammad Salleh Datu Balu atau Mat Salleh.
Beliau berkata pelajar-pelajar tersebut berjaya memberikan penghayatan yang sangat baik mengenai kisah perjuangan Mat Salleh di Sabah.
Rahmatia menegaskan bahawa kemenangan ini adalah hasil usaha dan bakat pelajar serta kerjasama semua pihak yang membantu.
Pelajar tingkatan enam Siti Nurbayah Abdul Rahman menyifatkan kejayaan ini sebagai pencapaian luar biasa dan bermakna bagi warga sekolah.
Beliau berkata walaupun masa latihan terhad, mereka berusaha melakukan yang terbaik dengan sokongan guru-guru.
Pertandingan Pengisahan Kenegaraan yang diperkenalkan pada 2003 merupakan usaha berterusan Jabatan Penerangan Malaysia memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan nasional.
Pertandingan ini mengetengahkan elemen lakonan dan penceritaan yang mengangkat mesej kenegaraan serta kisah tokoh pejuang kemerdekaan.
Majlis penyampaian hadiah turut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Kanan Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.
Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari juga hadir dalam majlis tersebut. – Bernama