KUALA LUMPUR: Di sebalik gelaran juara dunia larian menara, Soh Wai Ching bukan sekadar mengejar podium tetapi terus melangkah dalam hidup dengan tekad dan semangat yang tidak pernah luntur.
Sudah lapan tahun beliau mendaki ribuan anak tangga di pencakar langit seluruh dunia, namun bagi atlet berusia 30 tahun itu setiap langkah yang diambil mencerminkan semangat untuk mencabar had diri, memberi inspirasi kepada masyarakat dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Anak kelahiran Selayang, Selangor itu menceburi sukan larian menara pada 2017 ketika berusia 23 tahun, dan sejak itu mula mencipta pelbagai kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa, termasuk menjuarai Kejuaraan Dunia Towerrunning 2024 di Taipei.
Terbaharu pada 19 Julai lepas, Wai Ching mencatat rekod baharu negara apabila mendaki sejauh 1.694 kilometer (km) pada mesin tangga simulasi sebagai persiapan utama untuk Kejohanan Asian Towerrunning and Oceanian 2025.
Walaupun tidak memiliki fizikal tinggi lampai seperti atlet Eropah, Wai Ching yang bertubuh kecil dengan ketinggian 1.65 meter percaya kejayaan tidak bergantung pada fizikal seseorang, sebaliknya pada strategi latihan dan kekuatan mental.
“Fizikal seseorang bukan limitasi dalam sukan ini, tidak semestinya individu itu mempunyai ketinggian baru dia perform atau sebaliknya.
“Kalau latihan cukup dan berstruktur, saiz badan bukan penghalang. Dalam larian tangga, semua orang ada peluang,” katanya sambil menambah beliau berlatih sendiri tanpa jurulatih berdasarkan pengetahuan yang diraih semasa mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Malaya.
Sebagai atlet sepenuh masa dalam sukan yang masih baharu di negara ini, Wai Ching mengakui bukan mudah untuk kekal fokus namun tanggungjawab membawa nama Malaysia menjadi pembakar semangat utama dalam setiap langkahnya.
“Untuk kekal bermotivasi dalam sukan ini, saya sentiasa meletakkan diri sebagai seorang rakyat Malaysia, apa jua saya lakukan mesti dilakukan sehabis baik dengan 100 peratus usaha.
“Selain itu, cita-cita saya nak jadi juara dunia telah tercapai, namun banyak lagi rekod saya belum pegang di setiap menara seluruh dunia. Jadi, saya berazam untuk letak nama saya dan nama Malaysia di setiap tangga dunia,” katanya.
Selain aktif berkongsi pengalaman menerusi ceramah motivasi kepada organisasi korporat atau agensi tertentu, Wai Ching berkata beliau akan mengurus sendiri jadual latihan, penajaan dan penyertaan ke luar negara, termasuk merancang aktiviti promosi untuk membangunkan sukan ini di peringkat antarabangsa.
Bagi Wai Ching, tangga bukan sekadar struktur atau alat latihan, tetapi lambang cabaran kehidupan yang perlu didaki satu demi satu dengan konsisten dan kesabaran, tanpa jalan pintas untuk mencapai kejayaan.
“Bagi saya, tangga ini umpama cabaran yang kita hadapi setiap hari dalam kehidupan dan setiap satunya mempunyai nilai serta kesukaran tersendiri yang menuntut kita untuk terus mendaki ke tahap seterusnya tanpa berhenti.
“Sebagai manusia, kita tidak boleh ambil lif terus ke puncak. Kita kena naik tangga langkah demi langkah, dan setiap anak tangga itu ada nilainya yang tersendiri, sama ada dalam sukan, kehidupan atau apa jua bidang yang kita lakukan,” katanya- BERNAMA