• 2025-07-04 09:31 AM

KUALA LUMPUR: Sokongan terhadap program mobiliti pelajar, pendidik, penyelidik, dan belia dalam kalangan negara ASEAN serta antara ASEAN dan Eropah perlu diperkukuh bagi merapatkan hubungan serantau. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menegaskan bahawa mobiliti minda juga perlu dipromosikan melangkaui mobiliti fizikal.

“Mobiliti minda bermaksud membentuk keterbukaan intelektual, empati budaya, serta kesediaan untuk belajar merentas sempadan sama ada disiplin ilmu, batas geografi mahupun perbezaan ideologi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau menekankan konsep ini dalam ucapan semasa merasmikan Ambassadors’ Roundtable for ASEAN 2025 (ART@ASEAN’25), platform diplomatik yang bertujuan memperkukuh dialog antara ASEAN dan Kesatuan Eropah. Inisiatif ini diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi dengan sokongan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta rangkaian universiti awam dan swasta terkemuka.

“Forum ini menjadi wadah strategik dalam merealisasikan aspirasi bersama untuk memperkukuh diplomasi pendidikan, memperluas mobiliti akademik dan mempererat kerjasama pelbagai hala,” tambah Zambry.