ALOR SETAR: Warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran menggunakan teknologi baharu termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam melaksanakan tugas harian bagi membanteras gejala rasuah di negara ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata langkah itu selaras dengan hasrat Ketua Pesuruhjaya agensi antirasuah itu Tan Sri Azam Baki yang sering menekankan tentang penggunaan teknologi baharu bagi menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks.
“Pegawai-pegawai baharu juga digalak menggunakan teknologi terkini dalam tugasan harian kerana penyiasatan yang semakin mencabar dalam era digitalisasi masa kini dan pada masa sama, terus mengekalkan tahap disiplin dalam kerja masing-masing,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Kedah di sini hari ini.
Pada majlis itu, Datuk Nazli Rasyid Haji Sulong yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM akan menjalankan tugas sebagai Pengarah SPRM Kedah menggantikan Datuk Ahmad Nizam Ismail yang dilantik sebagai Pengarah PenMas SPRM berkuat kuasa 23 Mei lepas.
Azmi juga berkata SPRM Kedah yang diterajui Ahmad Nizam sebelum ini telah mencapai banyak kejayaan sepanjang tempoh pentadbirannya sejak 2 Feb 2024 dan turut menyarankan pengarah yang baharu untuk terus mengekalkan kecemerlangan itu.
“SPRM Kedah juga diminta untuk terus menjalinkan hubungan dengan agensi-agensi luar kerajaan negeri dalam usaha memantapkan kerjasama,” katanya.
Ahmad Nizam pula berkata sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, pelbagai program kemasyarakatan diadakan bersama komuniti setempat yang bertujuan mendekatkan SPRM dengan rakyat serta menanamkan nilai-nilai integriti dan antirasuah.
“Saya berharap SPRM Kedah akan terus maju jaya dan mencapai lebih banyak kejayaan di masa akan datang.
“Saya akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anda semua dan terus jaga integriti,” katanya.