KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil 61 saksi bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menyatakan siasatan dijangka siap dalam tempoh dua bulan.
Azam Baki berkata, “Saya telah beri tempoh maksimum dua bulan untuk pegawai saya menyiapkan kertas siasatan kes ini.
“Saya percaya, mungkin tidak sampai dua bulan pun kertas siasatan akan disiapkan untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.”
Sebelum ini, SPRM memaklumkan penggeledahan dilakukan di beberapa lokasi termasuk kediaman suspek.
Sebanyak 14 akaun individu dan lapan akaun syarikat dibekukan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM156 juta.
Pada 25 Jun lalu, media melaporkan 55 individu dipanggil untuk dirakam keterangan dengan sembilan tangkapan dibuat.
Siasatan berterusan bagi memastikan kes ini diselesaikan secepat mungkin. – Bernama