• 2025-07-22 09:47 AM

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan daripada 27 saksi dalam siasatan Operasi Metal yang membabitkan sindiket penyeludupan besi buruk dan sisa elektronik (e-waste) di lima negeri.

Seorang suspek lelaki yang dipercayai bergelar ‘Datuk’ turut dipanggil memberi keterangan, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini. Menurut sumber, sebanyak 324 akaun bank telah dibekukan, terdiri daripada 142 akaun syarikat dan 182 akaun individu, dengan nilai hampir RM150 juta.

“Jumlah sitaan pula dianggarkan RM183 juta, menjadikan jumlah keseluruhan aset yang dibekukan dan disita melebihi RM332 juta,“ kata sumber tersebut.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan siasatan masih berjalan untuk mengenal pasti individu terlibat. Beliau menyatakan kegiatan sindiket ini telah menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai eksport melebihi RM950 juta sejak enam tahun lalu.

SPRM juga bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyiasat sumber kewangan suspek dan syarikat terlibat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Cukai Pendapatan 1967, dan Akta Kastam 1967,“ jelas Mohamad Zamri.

Operasi Metal dilancarkan pada 15 Julai lalu dengan serbuan serentak di 19 lokasi di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, dan Kedah. - Bernama